Thursday, April 17, 2008

ALI RUSTAM, BABI DAN BLOG KLON

Ali Rustam, Babi dan Blog Klon


Akibat keangkuhan dan ingin berlagak seperti gerilawan sedangkan dirinya masih di peringkat bayi di dunia siber ini, blog Ali Rustam yang dulunya menerima komen-komen pedas dari rakyat yang membelasahnya cukup-cukup, tiba-tiba blog tersebut telah memadam semua komen di blognya itu malah turut menyah-aktifkan ruangan komen.


Ini bererti cuma ada satu hala - one way ticket. Baca dan kemudian angguk-angguk geleng-geleng. Itu sikap yang cuba ditanamkan di dalam mentaliti pembaca blognya sama seperti pemilihan wakil-wakil rakyat BN di negeri Melaka iaitu sekadar menjadi pak-pak angguk kepada semua kenyataan dan keputusan Ketua Menteri.

Mungkin beliau tersentak beruk kerana mendapati baru hanya sehari dua di internet, blognya menerima respons yang begitu hangat dari pelayar internet. Apa tidaknya, posting beliau yang pertama ialah mengenai isu babi di Selangor dengan cuba melakukan satu "serangan" terhdap keputusan kerajaan Pakatan Rakyat Selangor di dalam hal penternakan babi moden yang telah dieksplotasikan sebegitu rupa oleh ahli-ahli dari parti UMNO.

Begitu rendah mentaliti dan moral pemimpin dan ahli UMNO ini. Isu babi telah menddahkan sikap hipokrisi darjat tertinggi para pemimpin UMNO apabila terdedah rupa-rupanya mereka ynag menjuarai penentangan terhadap penernakan babi secara moden itu adalah mereka yang sebelum ini adalah para pejuang babi yang sebenarnya!

Hal ini terdedah apabila ahli exco kerajaan negeri Selangor mengeluarkan gambar-gambar mengenai hipokritnya seorang pemimpin UMNO Selangor yang juga ahli dewan undangan negeri Tanjung Sepat Dr Karim Mansor yang berposing di sebuah kandang babi dengan menunjukkan tanda isyarat jari "bagus" sewaktu berada di German (lihat foto).



Itu belum lagi mengenai kisah pejuang babi di Melaka yang memprjelaskan tentang hipokrisi pemimpim UMNO Melaka di dalam isu babi Paya Mengkuang yang sehingga hari ini Ali Rustam masih gagal untuk menanganinya.

Takut dengan kebenaran yang semakin terdedah, dihilangkan semua komen pembaca di blognya. Itu Ali Rustam! Mujur pihak tertentu telah membuat salinan terhadap komen-komen berkenaan dan setentunya ia bahan arkib yang amat berharga yang cuba ditutup oleh blogger yang bernama ALi Rustam ini.

Alamat Blog Ali Rustam Klon adalah:

http://mohdalirustam2.blogspot.com/

Yang anehnya profil Ali Rustam turut diklonkannya. Kata sebol: "Tahniah kepada profesor klon kerana telah mengklonkan Blog Ali Rustam supaya rakyat boleh bersuara."

Wednesday, April 16, 2008

KENAIKAN HARGA BARANG... PAK LAH MASIH TIDUR KE???

KENAIKAN HARGA BARANG... PAK LAH MASIH TIDUR KE???

Assalamu alaikum dan salam sejahtera,

Sejak seminggu kebelakangan ini, kita dapat dengarkan berita kenaikan harga barang semakin menjadi-jadi selepas PRU-12 ini. Bermula dengan kenaikan harga mi , selepas itu naik pula harga beras dan yang terbaru kenaikan harga besi keluli seolah-olah rakyat menyambut kemenangan BN ini dengan pesta kenaikan harga barang secara besar-besaran. Walaupun pada realitinya harga barang keperluan ini memang sudah naik tanpa ada berita dari media kerajaan. Rakyat sendiri merasakan kesan kenaikan harga barang secara senyap-senyap ini ditambah lagi dengan kenaikan yang diumumkan oleh media.

Memang betullah kalau ada pihak melabelkan BN ini sebagai "Barang Naik". Sebab apa perkara ini boleh terjadi dengan berleluasa?? Adakah sebab ianya kesan daripada peningkatan harga barangan ini di peringkat global menyebabkan kerajaan tidak boleh melakukan sesuatu untuk rakyat??Ataupun, kerajaan Pak Lah belum bersedia untuk melakukan yang terbaik untuk rakyat?? Tak boleh nak kawal ke Pak Lah ???Takkan tido lagi kot....

Kira-kira sebulan lepas, Persatuan pengilang-pengilang Tepung Malaysia mengumumkan kenaikan harga tepung gandum berprotein tinggi dan sederhana disebabkan kenaikan harga tepung gandum dunia. Rentetan daripada kenaikan yang tidak boleh dikawal oleh kerajaan ini, maka harga makanan yang berasaskan tepung gandum juga akan meningkat. Apa kesannya kepada rakyat?? rakyat yang bekerja sebagai peniaga bagaimana kesannya??? juga kepada rakyat yang umumnya sebagai pengguna???

Pak Lah fikirlah sendiri dengan kabinet Pak Lah tu. Jangan ada sampai keluarkan kenyataan, rakyat perlu belanja berhemah. Tau tak wahai pemimpin BN, kami rakyat sudah sampai tahap terlebih berhemah. Belum sempat kami nak sesuaikan hidup dengan kesan kenaikan harga minyak yang Pak Lah umumkan naik pula bayaran tol. Kami berhemah lagi. Dari menaiki kereta kami naik motor. Sebab nak sahut saranan pemimpin yang kononnya membela nasib rakyat nilah, kami sanggup berbelanja berhemah, tukar gaya hidup. Sekarang???Semua benda naik. Apa Pak Lah nak kata???Apa Najib nak cakap???Nak suruh ubah gaya hidup lagi ke???Ubah camna lagi Dato'??? Kami rakyat marhain merasa semakin terhimpit.

Bila rakyat bersuara sikit, kerajaan pun memberikan reaksi seperti melepaskan batuk di tangga. "kami akan pantau harga barangan supaya tidak dinaikkan...." Ayat biasa yang kita dengar daripada kerajaan. Pantau apa???pantau je buat apa kalu tak boleh kawal??? Bila kerajaan pantau, maka terjadilah barang tak cukup di pasaran. Kenapa tak cukup???sebab kerajaan pantaulah. Ingat krisis gula??krisis minyak masak....??walaupun kita pengeluar terbesar kelapa sawit...Bagaimana boleh terjadi semua ini??Mungkin kami sebagai rakyat yang berfikiran lurus ini tidak nampak apa yang dimainkan oleh kerajaan. Tapi, kami dapat hidu ketidaktelusan kerajaan Pak Lah dalam menangani krisis ini dan membendung kenaikan harga barang ini.

Sebenarnya banyak lagi yang saya nak coretkan di sini tentang kegagalan Pak Lah menangani masalah kenaikan harga barang yang semakin berkemuncak ini. Pak Lah hanya memikirkan untuk mempertahankan kuasa yang semakin rapuh. Pak Lah pernah berkata bahawa rakyat masih lagi memerlukannya mentadbir negara. Dah tu???Pi la buat kerja. Jangan duk pikiaq nak pertahan jawatan, serah jawatan, pasal babi, pasal benda-benda lain yang remeh-temeh tu. Sekarang masa untuk Pak Lah bangkit dari tidur. Bekerja lah untuk rakyat. Tunaikan manifesto BN yang Pak Lah laung-laungkan di seluruh ceruk rantau, di segenap lapisan media kerajaan...Selamat, aman dan makmur. Jadikan ianya realiti sebelum Pak Lah ditunjuk jalan keluar oleh kuasa rakyat jelata. Ingat Pak Lah!!!!Bukan semua rakyat boleh diperbodohkan.

UMNO HARUS SEDAR MAJORITI MELAYU TERAS KEKUATAN ANWAR IBRAHIM

UMNO HARUS SEDAR MAJORITI MELAYU TERAS KEKUATAN ANWAR IBRAHIM

Peristiwa pemecatan Dato' Seri Anwar Ibrahim daripada jawatan Timbalan Perdana Menteri sekali gus Menteri Kewangan pada 2 September 1998 dan disusuli pemecatan sebagai Timbalan Presiden Umno pada 3 September, melakar sejarah baru dalam politik Malaysia

Anwar bukan sahaja dipecat, malah dihadapkan dengan dakwaan 10 pertuduhan yang membabitkan penderhakaan terhadap negara, rasuah dan salah laku seks yang menyebabkan beliau terpaksa meringkuk enam tahun dalam penjara.

Tindakan keras Perdana Menteri, Dato' Seri Dr Mahathir Mohamad itu, mendorong penyatuan gabungan semua parti pembangkang yang terdiri daripada PAS, Parti Keadilan Nasional yang baru ditubuhkan, DAP dan PRM.

Presiden PAS ketika itu, Dato' Fadzil Mohd Noor merupakan pemimpin pembangkang yang pertama tampil ke hadapan mengkritik Dr Mahathir di atas kezalimannya menganiaya Anwar.

Diikuti dengan Lim Kit Siang dan Dr Syed Husin Ali, turut menziarahi Anwar di rumahnya bagi menyatakan sokongan pembangkang terhadap Anwar.

Gabungan erat empat parti pembangkang ketika itu, membentuk sebuah gagasan politik yang dinamakan Barisan Alternatif dengan mengemukakan manifestonya bertajuk 'Ke Arah Malaysia Yang Adil' bagi menghadapi Pilihan Raya Umum tahun 1999.

Bermula era reformasi

Sebelum daripada penggabungan pembangkang, era reformasi bermula sebaik pemecatan Anwar. Rakyat di seluruh negara bangkit menentang kezaliman Dr Mahathir terhadap orang yang dilatih selama 16 tahun untuk menjadi pengganti beliau.

Masjid Negara menjadi lokasi pertama perhimpunan 100 ribu umat, menyaksikan kebanjiran penyokong keadilan memenuhi setiap pelusuk kota dari Masjid Negara hingga ke Dataran Merdeka.

Pada malam itu juga kediaman Anwar di Bukit Damansara diserbu anggota UTK yang lengkap dengan senjata automatik, menangkap dan mengheret Anwar ke Bukit Aman.

Serentak dengan itu berpuluh-puluh pengikut Anwar ditahan di bawah ISA. Tindakan keras pihak berkuasa itu, tidak menghalang laungan reformasi untuk terus bergema, demonstrasi berterusan setiap minggu di Jalan Tunku Abdul Rahman.

Laungan reformasi terus bergema di penghujung tahun 1998, walaupun Dato' Seri Anwar Ibrahim sedang terbelengu di sebalik pasung jeriji besi di Penjara Sungai Buloh.

Pasca PRU 1999 dan 2004

Keputusan PRU 1999 membuktikan majoriti orang-orang Melayu menolak Barisan Nasional. Sehingga ada statistik kajian melaporkan suatu ketika, 7 daripada 10 orang Melayu menyokong Anwar.

Secara puratanya, rekod PRU 1999 membuktikan 60 peratus Melayu menyokong Anwar dan gabungan pembangkang, manakala hanya 40 peratus Melayu kekal menyokong BN.

Walaupun wujud gabungan padu Barisan Alternatif, yang wujud di dalamnya keanggotaan dari kaum Cina, India dan lain-lain, namun ketika itu tidak ramai daripada kaum bukan Melayu yang menyokong Anwar.

Hanya ada segelintir pimpinan utama PRM dan Keadilan ketika itu yang 'all-out' membela nasib Anwar sehingga terpaksa meringkuk dalam lokap polis, dipukul dan ditendang sehingga mengalami kecederaan.

Hakikat yang ditunjukkan pada PRU 1999, peristiwa lebam mata Anwar dipukul Ketua Polis Negara, Tan Sri Rahim Noor tidak menyelami lubuk hati kaum bukan Melayu.

Keadaan ini kekal sehingga PRU tahun 2004. Pindaan persempadanan semula kawasan pilihan raya yang begitu 'bias' (berpihak) kepada BN pada tahun 2002 menjadikan kawasan-kawasan Parlimen dan Dun dirobek-robek dan dicampur adukkan dengan lokaliti pengundi bukan Melayu.

Ketika itu Umno/BN mengetahui bahawa Melayu tidak boleh diharapkan untuk menyokong mereka. Maka kaum bukan Melayu dipergunakan untuk terus menyokong BN.

Fakta PRU 2004 menunjukkan majoriti Melayu masih menolak Umno/BN dan menyokong PAS serta KeADILan dan lain-lain pembangkang. Ketika itu DAP tidak bersama dalam Barisan Alternatif.

Sehingga Pilihan Raya Kecil Dun Ijok pada April 2007, kaum bukan Melayu masih belum menunjukkan sokongan padu kepada pembangkang sehingga menyebabkan Tan Sri Khalid Ibrahim tewas dengan K Parthiban.

'Swing vote' atau tsunami pada PRU 2008 dari kalangan kaum bukan Melayu, sememangnya di luar jangkaan pemimpin Pakatan Rakyat, juga di luar jangkaan BN.

Melayu teras kekuatan Anwar

Semua peristiwa ini membuktikan hakikat bahawa, teras kekuatan sokongan Melayu yang majoriti beragama Islam ialah kepada Anwar dan pembangkang, terutamanya PAS.

Fakta yang harus diingat ialah, sejak kerjasama erat yang dihulurkan Almarhum Ustaz Fadzil, orang-orang PAS yang majoritinya Melayu memberikan kerjasama dan dokongan erat kepada pembangkang, khususnya Anwar dan KeADILan.

PAS mempunyai sejuta ahli dan hampir dua juta pengundi setia sejak beberapa kali PRU. Kekuatannya meluas di seluruh negara. PAS kawasan dan cawangan berada di mana-mana.

Sehingga banyak kali PRU, calon-calon pembangkang (yang bukan PAS), boleh bergantung sepenuhnya dengan jentera pilihan raya PAS kerana orang-orang PAS komited dalam soal kerja dan tugas menentang BN.

Komitmen ahli dan penyokong PAS dalam menjayakan gabungan pembangkang yang dinamakan Pakatan Rakyat begitu besar dan ianya terus terbukti dalam PRU ke-12 8 Mac lepas.

Justeru tuduhan bahawa Anwar akan mengetepikan Melayu, Melayu diambang perpecahan, masa depan Melayu terjejas dengan Pakatan Rakyat sememangnya tidak betul sama sekali.

Fakta yang harus difahami ialah sejak tahun 1999 sehingga 2008, kekuatan Umno/BN hanya didokong oleh minoriti Melayu, sekitar 40 peratus dan ditambah dengan sokongan majoriti bukan Melayu.

Masalah yang berlaku hari ini ialah sokongan minoriti Melayu dalam Umno, terhadap Umno semakin berpecah. Jika Umno berpecah, Melayu dalam Umno bergaduh, kuasa politik Melayu terhakis, bukan salah Anwar, bukan salah PAS, ianya adalah kesalahan pemimpin-pemimpin Umno!

Hakikatnya, teras kekuatan Anwar adalah dengan dokongan majoriti Melayu daripada PAS, tanpa dokongan PAS belum tentu Anwar akan terus berada dalam kedudukan sekarang.

Oleh sebab itu, dakwaan bahawa, jika Anwar berkuasa menjadi Perdana Menteri, kuasa Melayu akan terhakis adalah propaganda jahat Umno/BN semata-mata.

Majoriti Melayu yang berada dalam PAS, juga dalam KeADILan adalah pendokong sebenar kekuatan Anwar Ibrahim.

Maka, jika kuasa berpindah daripada Barisan Nasional kepada Pakatan Rakyat, orang-orang Melayu tetap terjamin haknya dari sudut politik, pendidikan, ekonomi dan sosial, malah mungkin lebih baik lagi!

Petikan dari harakahdaily : http://www.harakahdaily.net/index.php?option=com_content&task=view&id=13954&Itemid=85

Monday, April 14, 2008

APAKAH BENAR KETUANAN MELAYU HILANG?

APAKAH BENAR KETUANAN MELAYU HILANG?


Memang menjadi kerja UMNO sejak tahun 1969 lagi apabila UMNO/Perikatan menerima kekalahan teruk dalam pilihanraya 1969, maka timbullah kesedaran supaya orang-orang melayu perlu bersatu.

Atas semangat kesedaran Melayu dan Islam, Allahyarham Tun Abdul Razak telah menjemput Allahyarham Dato’ Asri Muda (Menteri Besar Kelantan) selaku presiden PAS supaya menyertai Kerajaan Campuran yang dikenali dengan nama Kerajaan Barisan Nasional. Beberapa buah parti seperti Gerakan, Parti Progresif Rakyat (PPR) turut menyertai Barisan Nasional selain daripada MCA dan MIC.

Apabila BN menjadi kuat dan menang cemerlang dalam pilihanraya tahun 1974 telah membuktikan bahawa Kerajaan Campuran BN yang dibentuk oleh Allahyarham Tun Abdul Razak Husin telah mendapat sokongan padu rakyat. Harapkan panas rupanya hujan di tengahari. Semasa era Allahyarham Tun Husin Onn, PAS telah ditendang keluar kerana menentang Ketua Whip di Parlimen kerana PAS menentang undang-undang darurat di Kelantan angkara undi tidak percaya oleh wakil PAS ke atas Allahyarham Dato Mohd Nasir selaku Menteri Besar Kelantan.

Semasa dalam BN, pemimpin PAS kecewa dengan perangai dan ragam UMNO yang selalu mencari punca untuk menendang PAS keluar dari BN. Hajat dan matlamat UMNO akhirnya berjaya menceraikan PAS dari BN di mana Tun Dr Mahathir antara pemimpin UMNO yang tidak senang dengan PAS pada ketika itu. PAS membawa diri dan mengalami kekalahan teruk dalam pilihanraya 1978. PAS kehilangan Kelantan. Tetapi pada tahun 1990 PAS kembali memerintah setelah bekerjasama dengan Parti Semangat 46 di bawah pimpinan YBM Tengku Razaliegh Hamzah. Walaupun S46 dibubarkan, PAS terus memerintah Kelantan sehingga ke hari ini.

Dalam pilihanraya 1999, PAS bukan sahaja kekal memerintah di Kelantan tetapi berjaya menawan Terengganu akibat isu Dato Seri Anwar Ibrahim. Apabila BN menang cemerlang pada tahun 2004, pemimpin UMNO sungguh angkuh dan sombong dan mula menghentam PAS dan PKR melalui media. PAS, DAP dan juga PKR selalu diperlekeh oleh BN sepanjang masa. DS Anwar Ibrahim juga dihina dan diperkecil-kecilkan seolah-olah Anwar tidak menjadi kudisgatal kepada BN . Akibat penyelewengan, kezaliman, kes rasuah dan juga isu video lingam serta sifat-sifat sombong dan ego pemimpin BN khususnya UMNO, rakyat mulai benci dan meluap kepada UMNO/BN. Demonstrasi Bersih, HINDRAF dan isu kenaikan minyak/TOL dan kenaikan harga barang menambahkan lagi rasa kecewa rakyat kepada UMNO/BN.

Tindakan SPR sebagai komponen tambahan kepada BN serta propaganda media yang keterlaluan menghentam PAS/PKR/DAP telah melahirkan rasa panashati rakyat kepada BN. Rakyat hanya menunggu pilihanraya untuk menterjemahkan kemarahan mereka kepada BN. Hasilnya BN telah mengalami kekalahan teruk. BN bukan sahaja gagal merawat Kelantan tetapi telah hilang, Pulau Pinang, Kedah, Perak dan Selangor.

Apabila BN menerima kekalahan teruk dalam PRU-12 , maka selagi gendang berbunyi seolah-olah ketuanan Melayu telah hilang. Apakah kekalahan UMNO dalam pilihanraya 2008 maka kuasa politik orang melayu benar-benar hilang?. Badan-Badan Bukan Kerajaan dan beberapa pertubuhan dipergunakan oleh UMNO membakar dan menaikkan semangat kemelayuan akibat kekalahan teruk UMNO/BN.

Rakyat jangan diperbodohkan sepanjang masa. Rakyat mempunyai pendidikan dan dapat menilai permainan UMNO/BN. Rakyat amat mengerti dan faham bahawa jumlah kerusi Parlimen sebanyak 222 . Untuk majoriti mudah memerlukan sebanyak 112 kerusi. Manakala untuk majoriti duapertiga memerlukan sebanyak 148 kerusi. Kini BN mendapat 140 kerusi manakala Pakatan Rakyat (PR) memperolehi 82 kerusi.

Sifir mudah politik, apabila MCA/MIC/GRK/PPP tumbang bermakna kerusinya akan berpindah kepada DAP dan PKR (bukan melayu). Begitu juga kalau UMNO menerima kekalahan sudah tentulah kerusinya akan berpindah kepada PAS dan PKR (melayu). Di mana logiknya jika UMNO tumbang cina yang berkuasa?.

UMNO bertanding sebanyak 117 kerusi. Jika menang semua kerusi UMNO boleh pun membentuk kerajaan tanpa kerjasama dengan lain-lain parti. Pada masa ini jumlah kerusi Melayu/Islam sebanyak 132 iaitu UMNO sebanyak 79; PAS 23; PBB (Bumiputra Islam Sarawak) sebanyak 10 kerusi dan PKR (Melayu) sebanyak 20 kerusi.

Manakala kerusi Parlimen mewakil Cina/India sebanyak 59 kerusi sahaja iaitu MCA 15; GRK 2 ; MIC 3; DAP sebanyak 28 kerusi dan PKR (Bukan Melayu) sebanyak 11 kerusi. Di mana logiknya jika UMNO tumbang Cina akan menjadi Perdana Menteri sedangkan jumlah kerusi Parlimen Cina/India hanya 59 kerusi sahaja. Ini pun kita anggap semua wakil rakyat bukan Melayu bergabung masih belum boleh membentuk Kerajaan.

Apakah dakwaan UMNO kononnya ketuanan Melayu hilang akibat kekalahan teruk BN boleh diterima?. Andainya Parti-parti daripada Bumiputra Bukan Islam/Cina Sarawak dan Cina Sabah seperti PRS, SPDP, SUPP, PBB ( Bumiputra Bukan Islam ), UPKO, PBS, PBRS, SAPP dan LDP bergabung baru ada 31 kerusi. Jika jumlah kerusi ini digabungkan pula dengan Kerusi Cina/India baru ada 90 kerusi. Ini bermakna wakil rakyat bukan Melayu/Islam masih belum boleh membentuk Majoriti mudah (112) melainkan terpaksa kena pujuk dan bekerjasama dengan mana-mana wakil rakyat Melayu/Islam.

Persoalannya, apakah wakil rakyat Melayu/Islam akan terus berpecah sekiranya melihat wakil-wakil bukan Melayu/Islam bersatu dikalangan bukan Melayu/Islam?. Jawapannya sudah tentu UMNO, PBB (Bumiputra Islam), PAS dan PKR juga akan bersatu dan tidak akan membiarkan orang-orang Melayu atau ketuanan Melayu dicabar.

Tetapi dalam masyarakat majmuk di Malaysia kita kena terima hakikat bahawa perkongsian kuasa antara orang-orang Melayu/Islam dan bukan Melayu perlu dipertahankan sebagaimana amalan sekarang. Jika MCA/MIC/GRK/PPP/UMNO dan lain-lain komponen parti di Sarawak/Sabah bergabung dalam BN, maka tidak menjadi masalah kepada PKR/DAP/PAS bergabung dalam Pakatan Rakyat (PR). Sekarang rakyat boleh membuat pilihan sama memilih BN atau PR untuk memerintah Malaysia.

Di sini hujah mengatakan kekalahan UMNO maka hilang ketuanan Melayu adalah tidak benar samasekali. Jika UMNO tumbang sudah pasti dan nyata bahawa PAS dan PKR (Melayu) yang akan mengambil alih tempat UMNO. Ini bermakna bahawa payung orang-orang Melayu akan berpindah dari UMNO kepada PAS/PKR (Melayu). Oleh itu dakwaan UMNO kononnya ketuanan Melayu hilang adalah dakwaan yang dangkal dan tidak boleh diterima. Sesungguhnya Melayu/Islam tidak akan hilang cuma berpindah dari UMNO kepada PAS/PKR (Melayu). Begitu juga kekalahan MCA/MIC/GRK/PPP sudah tentu kerusinya akan berpindah pula kepada DAP/PKR (bukan Melayu).

Oleh itu saya menyeru dan merayu kepada orang-orang Melayu/Islam jangan tertipu dan terpengaruh dengan fitnah UMNO yang terkenal penipu, pembohong dan putarbelit dulu, kini dan selama-lamanya. Siapa pengkhianat kepada Melayu?. Tepuk dada tanya selera:-

Siapa yang membuang imuniti Raja-Raja Melayu?
Siapa yang menghapuskan Tulisan Jawi?
Siapa yang meminggirkan Bahasa Melayu?
Siapa yang menjual tanah simpanan Melayu?
Siapa yang mengurangkan biasiswa orang-orang Melayu?
Siapa yang membiarkan Melayu murtad?
Siapa yang menggalakkan hiburan yang keterlaluan?
Siapa yang membiarkan gejala sosial di kalangan Melayu?
Siapa yang merampas royalti minyak di Terengganu?
Siapa yang membiarkan rasuah, penyelewengan di kalangan pemimpin Melayu?.
Siapa yang memecat Ketua Hakim Melayu?
Siapa yang membunuh orang-orang Islam di Memali Kedah?
Siapa yang memberi banyak kerusi kawasan Melayu kepada Bukan Melayu?.
Siapa yang mewujudkan tambahan kerusi di kawasan Bukan Melayu?
Siapa yang enggan atau tidak mahu menambahkan Kerusi Parlimen di kawasan Melayu?
Siapa yang memberi warganegara kepada bukan Melayu?
Siapa yang membawa masuk Pendatang Asing yang begitu ramai ke Malaysia?
Siapa yang mengawal Badan Kehakiman, SPR dan BPR?
Siapa melaksanakan ISA, OSA, AUKU?
Siapa yang menghapuskan Sekolah Agama Rakyat?.

Cukuplah UMNO, tidak perlu berpura-pura “ Kononnya Akulah UMNO yang mempertahankan Ketuanan Melayu”....podaahhhh. Jangan perbodohkan Melayu kerana Melayu Tidak Mudah Lupa Kecuali Dr Mahathir .

APAKAH ABDULLAH MAHU JADI TIKUS MEMBAIKI LABU?

APAKAH ABDULLAH MAHU JADI TIKUS MEMBAIKI LABU?


Saya ingin mengulas satu petikan ucapan Abdullah yang dibuat dalam sidang media selepas pertemuan dengan Umno Johor baru-baru ini.

"Ada (permintaan), yalah bukan semua[1] kata begitu. Saya dapat juga laporan yang agak detail. Tak apalah mereka nak bercakap tentang itu. Saya dengar, bukan saya tak dengar[2]. Saya pun bukan orangnya yang hendak kekal selama-lamanya dalam kepimpinan[3]. Saya sudah bercakap semasa berjumpa dengan Biro Penerangan UMNO seluruh Malaysia, 1,500 orang semuanya[4]. Saya nak pimpin parti bukanlah soal saya nak pimpin parti lama tapi yang penting saya mendapat mandat[5] daripada rakyat dalam pilihan raya dan saya masih berkedudukan sebagai presiden[6]. Saya perlu laksanakan tugas-tugas saya (sebagai Perdana Menteri dan presiden parti) dan saya rasa bertanggungjawab untuk pastikan selesaikan masalah masalah[7] yang timbul. Itu yang menjadi perkara utama," kata Abdullah

Dari riak kata-katanya itu ada beberapa intipati yang boleh dibuat kesimpulan. (berpandukan nombor dalam parantesis di atas)

1. Ramai ahli Umno mendesak Abdullah berundur segera untuk kebaikan parti Umno. Tetapi Abdullah masih menafikan dengan berkata "bukan semua". Hakikatnya ramai yang mendesak, tetapi Abdullah masih degil dan tidak mahu mengakui.

2. Abdullah pernah sebelum ini mengatakan "telinganya besar". Maksudnya dia bersedia mendengar kata-kata dan desakan ahli Umno. Apa yang ahli Umno dapat lihat selama ini? Abdullah hanya sekadar mendengar tetapi tiada tindakan langsung.

3. Kata-kata ini sepatutnya tidak disebut langsung walau pun hanya untuk mengambil hati ahli-ahli Umno. Tetapi perkataan "lama" itu yang mengelirukan ahli Umno. Boleh jadi 1 tahun, 2 tahun, 5 tahun? 10 tahun? Ataupun sehinggalah menantunya Khairy mendapat tapak yang kukuh dalam Umno untuk menggantikannya barulah Abdullah berundur?

4. Jika Abdullah telah memberi penerangan secukupnya kepada Biro Penerangan Umno seluruh Malaysia (kecuali Sarawak, kerana tiada satupun cawangan Umno ditubuhkan di Sarawak) yang berjumlah 1500 orang itu, apa mereka buat setelah pulang ke bahagian masing-masing? Apakah penerangan yang telah mereka berikan kepada ahli-ahli akar umbi ditolak? Atau pun 1500 orang Biro Penerangan ini pun tidak tahu apa yang hendak diperjelaskan kepada akar umbi kerana mereka juga meluat mendengar penerangan Abdullah yang tak masuk akal?

5. Mandat apakah yang Abdullah dapat? Jika dilihat undi popular, BN cuma dapat 50.59% dan Pakatan Rakyat memperolehi 49.41%. Apakah itu mandat? Manusia yang mempunyai minda kecil melihat kemenangan tipis itu sebagai suatu mandat besar. Jika dikecualikan Sabah dan Sarawak, BN cuma memperolehi undi popular sekitar 40% berbanding 60% kepada Pakatan Rakyat. Abdullah tidak melihat negeri kelahirannya sendiri, Pulau Pinang yang mana BN cuma menang 11 dari 41 kerusi DUN dan 2 dari 15 kerusi Parlimen? Jika rakyat di negeri sendiri menolak BN, apakah itu juga mandat besar?

6. Abdullah masih ego dengan jawatan presiden Umno. Abdullah perlu ingat, jawatan yang dipengangnya itu tidak pernah ditandingi pun! Abdullah hanya menang atas peraturan sistem kuota yang tidak adil itu. Jika Abdullah menempelak Mahathir kerana memperkenalkan sistem kuota itu, Abdullah boleh cadangkan sistem itu dimansuhkan dalam pemilihan Umno sebelum ini. Tetapi Abdullah tidak berbuat begitu kerana merasakan sistem itu memberi kelebihan kepadanya untuk kekal di kerusi presiden tanpa rasa bimbang digugat.

7. Abdullah masih berkeyakinan dia dapat memulihkan Umno kembali. Jika dilihat dari gaya dan cara Abdullah menjalankan kuasa sebagai perdana menteri, tidak ada satu pun, ulang suara, tidak ada satu pun yang boleh dibanggakan. Mempromosikan Islam Hadhari yang dimegahkan oleh Abdullah itu pun dipandang sinis oleh ahli Umno. Dan Islam Hadhari itulah yang menggagalkan keseluruhan usaha Abdullah kerana cara dan tindak-tanduknya tidak mencerminkan apa yang disebut dalam prinsip Islam Hadhari.

Dalam kebanyakan situasi, Abdullah dilihat dikawal oleh menantunya Khairy dalam membuat sesuatu keputusan penting. Walau pun ini sering dinafikan Abdullah, ahli-ahli Umno tidak mudah menelan bulat-bulat, malah masing-masing akan tersenyum sinis memperli Abdullah. Sikap ini menunjukkan ahli-ahli Umno tidak bersedia mengakui Abdullah mampu melakukannya.

Tentu ahli-ahli Umno masih ingat pepatah Melayu "seperti ketam mengajar anaknya berjalan betul" atau pun lebih parah lagi "seperti tikus membaiki labu". Siapa ketam, siapa anak ketam?

Siapa pula tikus, dan siapa pula labu?

Fikir-fikirkanlah.

RUPA-RUPA UMNO DI BELAKANG PROJEK BABI

RUPA-RUPA UMNO DI BELAKANG PROJEK BABI



Tidak disangka langsung..harapkan padi,padi makan pagar, rupanya diantara orang yang paling lantang bersuara merupakan dalang dan pemain utama dibelakang projek babi di Selangor. Sungguh memalukan apabila Malaysiakini mendedahkan melalui lidah salah seorang pemimpin MCA yang menyatakan sebenarnya seorang wakil rakyat Umno berada dibelakang isu babi dimana yang terlibat dalam penternakan isu babi di Selangor adalah syarikat bumiputra (Di mana kah nilai agama sykt bumiputra ini yang sanggup menggadaikan prinsip agama semata-mata untuk keuntungan didunia). Jom kita ikuti petikan dari Malaysiakini :


"Syarikat bumiputera turut terlibat dalam projek penternakan babi di Selangor yang menimbulkan kontroversi minggu lepas dan seorang wakil rakyat Umno "di belakangnya", kata seorang pemimpin MCA.


Syarikat tersebut, yang terlibat dalam satu usahasama, bercadang menggunakan wang - dilaporkan menelan belanja RM100 juta - daripada sumber-sumber dana program alam sekitar Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).

Mendedahkan perkara itu kepada satu sidang media hujung minggu lalu, ketua biro pertanian tradisi MCA Datuk Dr Lee Chong Meng berkata syarikat bumiputera itu berhasrat membawa masuk teknologi Jerman untuk projek tersebut.


Akhbar The Sun hari ini yang mengutip laporan The Oriental Daily kelmarin menyebut, wakil rakyat BN-Umno bagi kerusi Tajung Sepat, Datuk Karim Mansor, bersama seorang ketua kampung di situ turut bersama dalam rombongan ke luar negara untuk melihat teknologi tersebut.


Karim antara pemimpin Umno yang lantang menyuarakan isu itu di akhbar-akhbar berbahasa Melayu minggu lepas. Sementara ketua kampung itu turut menyertai bantahan projek tersebut di depan bangunan kerajaan negeri Selangor di Shah Alam.


Dr Lee berkata beliau mengetahui segala-galanya tentang projek tersebut "seperti tapak tangannya sendiri" kerana terlibat sendiri dengan semua mesyuarat berhubung perkara tersebut."

"kebenaran akhirnya terserlah dan kebatilan terhapus"

Sunday, April 13, 2008

BICARA AGAMA - Khutbah Terakhir Nabi Muhammad

Wahai manusia dengarlah baik-baik apa yang hendak ku katakan !!! Aku tidak mengetahui apakah aku dapat bertemu lagi dengan kamu semua selepas tahun ini.

Oleh itu dengarlah dengan teliti kata-kataku ini dan sampaikanlah ia kepada orang-orang yang tidak dapat hadir di sini pada hari ini. Wahai manusia, sepertimana kamu menganggap bulan ini dan kota ini sebagai suci maka anggaplah jiwa dan harta setiap orang Muslim sebagai amanah suci.

Kembalikan harta yang diamanahkan kepada kamu kepada pemiliknya yang berhak. Janganlah kamu sakiti sesiapapun agar orang lain tidak menyakiti kamu pula. Ingatlah bahwa sesungguhnya kamu akan menemui Tuhan kamu dan Dia pasti akan membuat perhitungan atas segala amalan kamu.

Allah telah mengharamkan riba', oleh itu segala urusan yang melibatkan riba' hendaklah dibatalkan mulai sekarang. Berwaspadalah terhadap syaitan demi keselamatan agama kamu. Dia telah berputus asa untuk menyesatkan kamu dalam perkara-perkara besar maka berjaga-jagalah supaya kamu tidak mengikutinya dalam perkara-perkara kecil.

Wahai manusia, sebagaimana kamu mempunyai hak atas para isteri kamu, mereka juga mempunyai atas kamu. Sekiranya mereka menyempurnakan mereka ke atas kamu maka mereka juga berhak untuk diberi makan dan pakaian dalam suasana kasih sayang.

Layanilah wanita-wanita kamu dengan baik! dan berlemah lembutlah terhadap mereka kerana sesungguhnya mereka adalah teman dan pembantu kamu yang setia. Dan hak kamu ke atas mereka ialah mereka sama sekali tidak boleh memasukkan orang yang kamu tidak sukai ke dalam rumah kamu dan dilarang melakukan zina.

Wahai manusia, dengarlah bersungguh-sungguh kata-kataku ini. Sembahlah Allah, dirikanlah solat lima kali sehari, berpuasalah di Bulan Ramadhan, tunaikanlah zakat dan harta kekayaan kamu dan kerjakanlah ibadah haji sekiranya mampu.

Ketahuilah bahawa setiap Muslim adalah saudara kepada Muslim yang lain. Kamu semua adalah sama; tidak ada seorangpun yang lebih mulia dari yang lainnya kecuali dalam taqwa dan amal soleh.

Ingatlah bahawa kamu akan mengadap Allah pada suatu hari untuk dipertanggungjawabk an atas segala apa yang telah kamu lakukan.

Oleh itu, awasilah tindak-tanduk kamu agar jangan sekali-kali kamu terkeluar dari landasan kebenaran selepas ketiadaanku. Wahai manusia, tidak ada lagi Nabi atau Rasul yang akan datang selepasku dan tidak akan lahir agama baru. Oleh itu wahai manusia, nilailah dengan betul dan fahamilah kata-kataku yang telah disampaikan kepada kamu.

Sesungguhnya aku tinggalkan kepada kamu dua perkara yang sekiranya kamu berpegang teguh dan mengikuti kedua-duanya nescaya kamu tidak akan tersesat selama-lamanya. Itulah Al-Quran dan Sunnahku.

Hendaklah orang-orang yang mendengar ucapanku ini menyampaikannya pula kepada orang lain dan hendaklah orang yang lain itu menyampaikannya pula kepada orang lain dan begitu seterusnya. Semoga orang yang terakhir yang menerimanya lebih memahami kata-kataku ini dari mereka yang mendengar terus dariku.

Saksikanlah Ya Allah, bahawasanya aku telah sampaikan risalah-Mu kepada hamba-hamba- Mu. "
p/s sampaikan walau sepotong ayat...