Monday, April 14, 2008

APAKAH ABDULLAH MAHU JADI TIKUS MEMBAIKI LABU?

APAKAH ABDULLAH MAHU JADI TIKUS MEMBAIKI LABU?


Saya ingin mengulas satu petikan ucapan Abdullah yang dibuat dalam sidang media selepas pertemuan dengan Umno Johor baru-baru ini.

"Ada (permintaan), yalah bukan semua[1] kata begitu. Saya dapat juga laporan yang agak detail. Tak apalah mereka nak bercakap tentang itu. Saya dengar, bukan saya tak dengar[2]. Saya pun bukan orangnya yang hendak kekal selama-lamanya dalam kepimpinan[3]. Saya sudah bercakap semasa berjumpa dengan Biro Penerangan UMNO seluruh Malaysia, 1,500 orang semuanya[4]. Saya nak pimpin parti bukanlah soal saya nak pimpin parti lama tapi yang penting saya mendapat mandat[5] daripada rakyat dalam pilihan raya dan saya masih berkedudukan sebagai presiden[6]. Saya perlu laksanakan tugas-tugas saya (sebagai Perdana Menteri dan presiden parti) dan saya rasa bertanggungjawab untuk pastikan selesaikan masalah masalah[7] yang timbul. Itu yang menjadi perkara utama," kata Abdullah

Dari riak kata-katanya itu ada beberapa intipati yang boleh dibuat kesimpulan. (berpandukan nombor dalam parantesis di atas)

1. Ramai ahli Umno mendesak Abdullah berundur segera untuk kebaikan parti Umno. Tetapi Abdullah masih menafikan dengan berkata "bukan semua". Hakikatnya ramai yang mendesak, tetapi Abdullah masih degil dan tidak mahu mengakui.

2. Abdullah pernah sebelum ini mengatakan "telinganya besar". Maksudnya dia bersedia mendengar kata-kata dan desakan ahli Umno. Apa yang ahli Umno dapat lihat selama ini? Abdullah hanya sekadar mendengar tetapi tiada tindakan langsung.

3. Kata-kata ini sepatutnya tidak disebut langsung walau pun hanya untuk mengambil hati ahli-ahli Umno. Tetapi perkataan "lama" itu yang mengelirukan ahli Umno. Boleh jadi 1 tahun, 2 tahun, 5 tahun? 10 tahun? Ataupun sehinggalah menantunya Khairy mendapat tapak yang kukuh dalam Umno untuk menggantikannya barulah Abdullah berundur?

4. Jika Abdullah telah memberi penerangan secukupnya kepada Biro Penerangan Umno seluruh Malaysia (kecuali Sarawak, kerana tiada satupun cawangan Umno ditubuhkan di Sarawak) yang berjumlah 1500 orang itu, apa mereka buat setelah pulang ke bahagian masing-masing? Apakah penerangan yang telah mereka berikan kepada ahli-ahli akar umbi ditolak? Atau pun 1500 orang Biro Penerangan ini pun tidak tahu apa yang hendak diperjelaskan kepada akar umbi kerana mereka juga meluat mendengar penerangan Abdullah yang tak masuk akal?

5. Mandat apakah yang Abdullah dapat? Jika dilihat undi popular, BN cuma dapat 50.59% dan Pakatan Rakyat memperolehi 49.41%. Apakah itu mandat? Manusia yang mempunyai minda kecil melihat kemenangan tipis itu sebagai suatu mandat besar. Jika dikecualikan Sabah dan Sarawak, BN cuma memperolehi undi popular sekitar 40% berbanding 60% kepada Pakatan Rakyat. Abdullah tidak melihat negeri kelahirannya sendiri, Pulau Pinang yang mana BN cuma menang 11 dari 41 kerusi DUN dan 2 dari 15 kerusi Parlimen? Jika rakyat di negeri sendiri menolak BN, apakah itu juga mandat besar?

6. Abdullah masih ego dengan jawatan presiden Umno. Abdullah perlu ingat, jawatan yang dipengangnya itu tidak pernah ditandingi pun! Abdullah hanya menang atas peraturan sistem kuota yang tidak adil itu. Jika Abdullah menempelak Mahathir kerana memperkenalkan sistem kuota itu, Abdullah boleh cadangkan sistem itu dimansuhkan dalam pemilihan Umno sebelum ini. Tetapi Abdullah tidak berbuat begitu kerana merasakan sistem itu memberi kelebihan kepadanya untuk kekal di kerusi presiden tanpa rasa bimbang digugat.

7. Abdullah masih berkeyakinan dia dapat memulihkan Umno kembali. Jika dilihat dari gaya dan cara Abdullah menjalankan kuasa sebagai perdana menteri, tidak ada satu pun, ulang suara, tidak ada satu pun yang boleh dibanggakan. Mempromosikan Islam Hadhari yang dimegahkan oleh Abdullah itu pun dipandang sinis oleh ahli Umno. Dan Islam Hadhari itulah yang menggagalkan keseluruhan usaha Abdullah kerana cara dan tindak-tanduknya tidak mencerminkan apa yang disebut dalam prinsip Islam Hadhari.

Dalam kebanyakan situasi, Abdullah dilihat dikawal oleh menantunya Khairy dalam membuat sesuatu keputusan penting. Walau pun ini sering dinafikan Abdullah, ahli-ahli Umno tidak mudah menelan bulat-bulat, malah masing-masing akan tersenyum sinis memperli Abdullah. Sikap ini menunjukkan ahli-ahli Umno tidak bersedia mengakui Abdullah mampu melakukannya.

Tentu ahli-ahli Umno masih ingat pepatah Melayu "seperti ketam mengajar anaknya berjalan betul" atau pun lebih parah lagi "seperti tikus membaiki labu". Siapa ketam, siapa anak ketam?

Siapa pula tikus, dan siapa pula labu?

Fikir-fikirkanlah.

No comments: